FUNGSI ATAU KEPENTINGAN MITOS


FUNGSI ATAU KEPENTINGAN MITOS


Penerapan mitos dalam teks Sulalatus Salatin ini mempunyai matlamat dan kepentingannya yang tersendiri dan khusus, sesuai dengan zaman teks ni dihasilkan. Di pihak pemerintah, peristiwa yang berunsur mitos ini secara umumnya dapat meningkatkan darjat dan kedaulatan mereka. Dipihak hamba rakyat pula, unsur mitos tersebut dapat mendidik serta meyakinkan mereka tentang kehebatan dan kedaulatan raja serta perkara-perkara yang berkaitan dengan institusi beraja. Kepentingan mitos dalam penulisan teks Sulalatus Salatin dapat dijelaskan seperti yang berikut.
1. Menunjukkan keagungan keturunan raja
Iskandar Zulkarnain dikatakan berbangsa Rom dan berasal dari Makaduniah. Sebagaimana yang tercatat dalam sejarah, beliau merupakan seorang raja yang agung dan penakluk dunia yang terbilang. Berdasarkan Sulalatus Sulatin, raja-raja Melayu dikatakan berasal daripada keturunan beliau walaupun menurut sejarah, Iskandar Zulkarnain tidak pernah menakluki India. Oleh itu, mitos yang mengaitkan raja-raja Melayu bersusur galur daripada keturunan Iskandar Zulkarnain itu mempunyai kepentingan yang tersendiri, iatitu untuk mengangkat darjat raja-raja Melayu ke tahap yang tinggi, yakni memiliki kepahlawanan, kehebatan dan keagungan, sama seperti yang dimiliki oleh datuk mereka yang bernama Iskandar Zul-Karnain itu.
2. Menunjukkan Sifat Luar Biasa Raja
Salah satu mitos yang terdapat dalam Sulalatus Salatin adalah tentang penggembaraan Raja Suran ke dasar laut. Baginda dikatakan telah tiba di sebuah negeri yang bernama Dika dan seterusnya berkahwin dan hidup di negeri itu. Hal ini memang di luar mata fikir manusia dan melampaui hukum alam, namun penerapan mitos yang sedemikian ada kepentingannya. Penerapan unsur tersebut adalah untuk menggambarkan bahawa raja-raja  Melayu sangat luar biasa dan berbeza daripada manusia biasa dan oleh itu merekalah yang layak memimpin manusia lain.
3. Menyindir atau mengkritik raja
Mitos lain yang terdapat dalam Sulalatus Salatin ialah serangan ikan todak terhadap Singapura. Penerapan mitos ini bertujuan untuk menyindir atau mengkritik golongan raja dan pembesar yang menzalimi rakyat. Mitos itu juga bertujuan untuk menyedarkan raja dan pemerintah bahawa setiap hamba rakyat, tidak kira sekecil mana pun mereka itu, perlu dihormati dan disayangi kerana mereka mempunyai kelebihan masing-masing. Jelas dalam hal ini, budak yang menyarankan rakyat Singapura menggunakan batang pisang sebagai kubu untuk meredakan serangan todak, mempunyai kelebihannya walaupun masih kecil.
4. Mendidik dan menakutkan rakyat
Sesetengah mitos dalam teks Sulalatus Salatin ini sengaja diterapkan bagi mendidik rakyat supaya senantiasa memghormati dan mentaati raja sebagaimana yang dipersetujui dalam waad antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana dahulu. Dalam hal ini, mitos yang memaparkan Sang Rajuna Tapa menjadi batu setelah mengkhianati Sultan Iskandar Syah menunjukkan bahawa sumpahan Seri Teri Buana yang menyatakan bahawa rakyat yang derhaka akan “dibalikkan Allah bumbungan rumahnya ke bawah kaki ke atas” menjadi kenyataan. Peristiwa itu juga dapat menimbulkan ras gerun hati rakyat supaya tidak mengkhianati waad tersebut.
5.  Mempelbagaikan kaedah atau tenik penulisan
Penerapan unsur mitos dalam teks Sulalatus Salatin juga bertujuan untuk mewujudkan variasi dalam stail atau gaya penulisannya. Penerapan itu juga memperlihatkan kekreatifan pengarang dalam usaha hendak menarik hati para pembaca.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

WATAK DAN PERWATAKAN

PLOT

NILAI KEMANUSIAAN